Cuti Sem bermula lagi. Tapi kali ini cutiku sedikit panjang. 3 bulan. Sangat panjang sebenarnya bagi seorang pelajar Universiti di mana-mana tempat pun. Sedikit info, Kuliah di Universiti Al-Azhar semuanya akan ditutup sebaik bermulanya bulan Ramadhan. Tidak seperti Universiti yang lain yang masih rancak walau di bulan Ramadhan. Mujahadanya pasti lebih hebat. Oleh sebab itu, selalunya saya akan bercuti lebih awal berbanding sahabat-sahabat di tempat lain.
Memang setiap kali cuti sem, aku tidak banyak merancang untuk keluar rumah. Kenapa? Malas. Ya, mungkin aku malas. Selalunya bila orang tanya, “Cuti ni tak kan tak pergi ke mana-mana, jai?”. Aku pun dengan selamba dan poyonya jawab. “Tak kot. Mahu spend a good time with family. Abam senior selalu pesan, “Pastikan kita manfaatkan cuti ni sebaiknya.” Jadi terpulang kepada kita lah bagaimana untuk jadikan cuti ini bermanfaat dan aku memikirkan dengan cara ni aku masih boleh manfaatkan cuti aku.
Mungkin jawapanku kedengaran olok-olok sahaja. Tapi YA. Itulah apa yang dimaksudkan. Aku Cuma ingin meluang waktu sebanyak-banyaknya bersama keluarga di rumah. Dan memang setiap kali cuti pun aku memang banyak duduk di rumah sahaja tidak ke mana-mana.
Bila di rumah-aku ada rutin yang lebih kurang sama setiap tahun dan banyaknya rutinku adalah rutin Ummi. Ya. Aku buat kerja-kerja Ummi. Lagipun memang banyak kerja Ummi hanya dalam rumah. Tidak sama seperti Abah yang banyak kerjanya diuruskan di luar. Abah pula lebih suka untuk buat semuanya sendiri. “Biar Abah yang buat. mau exercise sikit.” katanya.
Baik. Kalau ditawarkan sebuah pekerjaan ; sebagai Pengarah operasi. Bekerja sepanjang Masa. Berdiri 24 jam sehari. Tiada waktu berehat. Tiada cuti. Tiada waktu tidur dan Bekerja TANPA GAJI…ada sesiapa yang sanggup menerima tawaran ini? Dan sebenarnya-hanya jika anda tidak pernah tahu, ada seorang dalam hidup anda sedang memegang jawatan ini dan orang itu adalah IBU anda sendiri. Ya, ibu anda. Dia bekerja tanpa henti. Dia tidak punya waktu rehat. Tidak pernah bercuti. Dan mungkin tidak tidur menyiapkan kelengakapan untuk kita esok pagi dan untuk segala kerja itu TIDAK DIBAYAR WALAU SE SEN PUN.
Aku memang tidak pernah tahu pemilik jawatan itu. Aku pernah sahaja mengeluh bila Ummi minta sedikit tenagaku untuk bantunya siapkan kerja-kerja rumah. Pernah juga aku buat muka. Masam. Mogok bila asyik disuruh untuk membantu Ummi. Selalu mengelak bila ada sahaja kerja yang aku yakin Ummi akan meminta bantuanku.
Ummi penat. Tapi aku tidak pernah tahu.
Pagi Ummi akan kejutkan semua. Ummi siapkan sarapan. Ada waktu Ummi terlewat, mulalah Ummi kelam-kabut untuk pergi awal ke sekolah. 7.00pagi kena sampai. Balik dari sekolah pukul 1.00 petang. Kadang-kadang bila sampai rumah Ummi terus tertidur di atas lantai beralaskan tikar kayu berbantalkan lengan di ruang tamu rumah. Itupun sekejap sahaja. Kerana Ummi tahu banyak lagi kerja yang Ummi perlu siapkan.
Ummi penat. Tapi aku tidak pernah tahu.
Bila balik dari sekolah, dia akan sidai pakaian-pakaian yang dibasuhnya pagi tadi sebab kalau terbiar berbau pula nanti. Nampaknya waktu itu dia perlu menahan mata yang sudah berbatu itu untuk beberapa minit. Adakalanya juga bila Ummi dapati rumah sedikit bersepah, Ummi mengemas dulu. Kadang-kadang dia mengemas dari hujung pintu dapur sampai hujung pintu depan rumah yang utama sampai tak sedar petang yang tadi cerah sudah bertukar senja. Masa untuk berehat sudah tiada lagi.
Ummi penat. Tapi aku tidak pernah tahu.
Sekarang Ummi berkejar pula untuk siapkan makan malam. Selalunya kami sekeluarga menikmati makan malam selepas waktu Maghrib. Jadi Ummi perlu mula berhempas pulas di dapur dengan lesung batu, pisau, papan landas dan kuali untuk menyiapkan hidangan. Kami adik beradik lelaki. Tiada perempuan. Jelas yang perempuan hanya Ummi seorang. Entah apa akal aku masa itu, “Lelaki tak perlu duduk di dapur.” Bodoh. Kami adik beradik semuanya lelaki. Yang perempuan di rumah ini hanya Ummi seorang. Jadi bila di dapur-Dia memang selalunya sendirian.
Ummi penat. Tapi aku tidak pernah tahu.
Selesai makan malam. Dia mengemas lagi. Kemas semua pekakas dapur yang dia gunakan tadi dan basuh pinggan mangkuk. Sendirian. Ya sendirian. Pernah juga aku cuba membantu. Tapi dia selalu akan cakap, “Biarkan di situ nak, Ummi memang suka cuci pinggan mangkuk lepas makan supaya tangan hilang bau. Bau ikan. Ummi ndak suka.” Ummi berseloroh. Waktu itu aku masih ada pilihan untuk bantu Ummi buat kerja yang lain. Tapi aku tidak pilih itu. Aku selalunya memilih untuk terus tinggalkan dapur sebab aku anggap semuanya Ummi yang mahu buat sendiri.
Ummi penat. Tapi aku tidak pernah tahu.
Usai mengemas di dapur, barulah dia ada masa untuk berehat. Di ruang tamu, di hadapan TV, dia duduk. Rehat. Itupun adakalanya dua tangannya itu masih tidak berhenti bekerja. Lipat kain. Gosok baju. Bila selesai semuanya barulah dia terbaring. Disebabkan terlalu letih agaknya, ada hari dia terus terlena sampai esok pagi. Huru-haralah dia pagi itu. Sendirian. Ya, sendirian.
Ummi penat dan aku memang tidak pernah tahu.
Lebih kurang begitulah rutinnya hari-hari. Bekerja tanpa henti. Dia masih boleh tidur. Ya. Matanya boleh saja ditutup, tapi hatinya mungkin tak berhenti memikirkan kepenatan yang bakal berulang untuk hari esok dan seterusnya. Beban itu tidak pernah Ummi suarakan. Wajahnya juga tidak pernah kelihatan letih seletih jasad empat keratnya itu yang bekerja tanpa henti. Siapa yang boleh tahu? Tidak aku.
Suatu hari, aku buat semua kerja Ummi bermula dari awal pagi sampai ke lewat malam. Aku tidak memilih untuk itu, jujur Aku terpaksa. Kerana bila Ummi suruh aku memang akan patuh sahaja. Tapi jujur , Aku memang terpaksa. Bermula seawal pagi, gosokkan baju, siapkan sarapan, sidai pakaian, kemas rumah. Tengaharinya aku sediakan makan tengahari. Petang mengemas lagi. Senja tiba, aku perlu sediakan makan malam pula. Kerja, kerja dan kerja dan akhirnya untuk hari itu, baru aku dapat lunjurkan kaki rehatkan jasad yang belum pernah berhenti bekerja dari awal pagi tadi. PENAT ! serius AKU PENAT! Aku mengeluh. “Kenapa aku yang harus buat semua ini !? Sendirian pula!”
Hanya untuk satu hari, sehebat itu keluhanku. Namun, Ummi yang buat itu berhari-hari, tidak pernah sekelumit pun aku mendengar keluhan darinya. Kini, AKU BARU TAHU. Sukarnya pekerjaan itu, Hanya Ummi seorang yang tahu selama ini. Alhamdulillah. 3 bulan percutian kali ini itu yang cuba aku lakukan. Merasai sendiri detik-detik yang Ummi terpaksa hadapi setiap hari. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya 3 bulan percutian ini membuatkan aku jadi anak yang TAHU kepayahan yang Ummi hadapi sendirian selama ini.
Maafkan aku Ummi, aku cuma baru tahu.
“Kita tidak akan pernah merasa bagaimana peritnya sesuatu perkara sehingga kita sendiri yang melakukannya. Ibu adalah penipu paling besar di dalam rumah. Ibu lapar, tapi Ibu kata Ibu masih kenyang. Ibu penat, tapi ibu selalu kata Ibu masih kuat. Kerana Ibu tahu, kesusahannya itu adalah semata-mata demi kebaikan anak-anak dan suami. Hargailah penat lelah Ibu. Bila ada cuti, ambillah sedikit waktumu untuk merasai sendiri kepayahan itu walau hanya untuk satu hari.”